ARISTOTLE merupakan seorang tokoh falsafah yang
terkenal pada zaman Yunani kuno sehingga sekarang. Tokoh ini dilahirkan di
Stagyra, Thrace pada pada tahun 384 S.M. Bapanya yang bernama Nicomachus,
merupakan doktor kepada keluarga raja Macedonia dan ibunya bernama Phaestis. Aristotle
menghabiskan waktunya kira-kira 20 tahun di bawah bimbingan Plato di Akademi
Plato untuk mempelajari matematik, astronomi dan tatanegara. Namun, ketika
Plato meninggal dunia pada tahun 347 S.M, Aristotle mula meninggalkan Akademi
Plato dan mula mengembangkan metode belajarnya sendiri. Dalam tahun 343 S.M
beliau menjadi guru kepada Alexander yang berumur 13 tahun. Ketika Alexander
berumur 16 tahun, beliau dilantik untuk menjadi pemangku raja dan tidak lagi
menjadi anak murid kepada Aristotle. Aristotle mula membuka sekolah yang diberi
nama Lyceum. Kebanyakan kuliah beliau biasanya berbentuk penyediaan
‘kertas laporan penyelidikan’. Aristotle menghimpunkan buku-buku dan membuka
perpustakaan pertama pada masa itu. Aristotle mengakhiri riwayat hidupnya pada
musim luruh 322 S.M ketika umurnya mencecah 62 tahun iaitu ketika kemuncak
pengaruhnya.
Aristotle merupakan salah seorang
ahli Falsafah Yunani yang terkenal yang mendapat gelaran ‘Guru Pertama’. Hal
ini kerana beliau merupakan orang pertama yang berusaha dan berjaya untuk
menyusun kaedah-kaedah ilmu logik iaitu ilmu Mantiq menjadi suatu ilmu khusus
di dalam kitab ‘Organon’. Dahulunya, disiplin ilmu Mantiq bercampur aduk dengan
ilmu yang lain. Organon telah disusun rapi dan mengandungi 8 cabang ilmu Mantiq
iaitu Categoreai, Perl Hermenies, Analytica, Priora, Analytica Posteriora,
Topica, Sophistica dan Rhetorica. Kitab ini telah menjadi sumber rujukan
utama ahli Mantiq. Aristotle menggunakan pendekatan Mantiq Klasik bagi
menghurai panjang ilmu yang berkaitan dengan mantiq. Atas usaha Aristotle, ilmu
mantiq berkembang begitu luas sebagai kaedah untuk mencari bukti, berhujah dan
membuat kesimpulan berdasarkan logik akal. Penyusunan kitab Organon Aristotle
telah membuka mata masyarakat dunia termasuklah masyarakat barat dan Islam
berkaitan perkembangan ilmu mantiq.
Nama Aristotle masyhur dengan
hujah-hujah falsafahnya yang dapat diterima oleh masyarakat. Sebagai contoh,
falsafahnya berkaitan etika. Beliau menerangkan berkaitan dengan kebahagiaan
yang disebut sebagai ‘Eudaimonisme’. Pada pendapat Aristotle, golongan yang
hidup untuk mencari nikmat tidak tepat sebagai jalan kerana hal tersebut tidak
dikhususkan kepada fitrah sifat manusia yang sebenar. Orang yang mencari
kebahagiaan hidup semata-mata tidak ada bezanya dengan binatang. Jelaslah di
situ bahawa Aristotle tidak menganggap bahawa kenikmatan selaras dengan
kebahagiaan hakiki. Namun, perkara tersebut bukan bermaksud Aristotle menolak
secara total perasaan nikmat seakan-akan nikmat itu adalah sesuatu yang buruk.
Nikmat adalah perkara yang baik tetapi bukanlah tujuan utama hidup yang utama.
Segala kegiatan yang berlaku memberikan perasaan nikmat dan tanpa perasaan
tersebut, segala kegiatan akan menjadi kurang sempurna.
RUJUKAN
Ahmad Sunawari Long, 2016. Sejarah Falsafah,
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Bertrand Russell, 1993. Sejarah Falsafah
Barat, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Dr Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali,
2009. Penghantar Ilmu Mantiq. Kuala Lumpur: Pustaka Salam
Jonathan Barnes, 2015. Aristotle Pengenalan
Ringkas, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Comments
Post a Comment